Tiga lelaki yang dipercayai terlibat kes samun ditembak mati dalam kejadian di hutan Puncak Bukit Mutiara, Tanjong Bungah, Pulau Pinang.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 pagi itu, semua suspek dipercayai berusia 30-an ditembak selepas mereka cuba menyerang polis dengan parang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Pulau Pinang, ACP Rahimi Rais berkata, polis sebelum itu menerima maklumat daripada seorang wanita yang tinggal berhampiran mengenai cubaan pecah masuk di rumahnya.


Susulan itu, polis bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, mereka mendapati terdapat tiga lelaki cuba memecah masuk banglo berkenaan.

"Mereka bertindak melarikan diri ke arah hutan berhampiran selepas menyedari kehadiran polis. Pihak polis bertindak mengejar mereka kira-kira 500 meter ke dalam hutan.

Setakat ini, identiti semua mangsa belum dikenalpasti. Astro AWANI

"Tiga lelaki itu kemudian bertindak menyerang polis dengan parang dan anggota polis terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri," katanya.

Rahimi berkata, setakat ini identiti ketiga-tiga mereka yang meninggal dunia di tempat kejadian belum dikenalpasti berikutan tiada pengenalan diri ditemui.

"Namun, polis tidak menolak kemungkinan mereka warga asing dan terlibat pecah rumah dan samun di sekitar negeri ini sejak beberapa bulan lepas," katanya.

Kesemua mayat di hantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat. Astro AWANI

Rahimi berkata, siasatan di lokasi kejadian menemui tiga bilah parang dan polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes pecah rumah di daerah Timur Laut.

Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kesemua mayat di hantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.

Menurutnya, mereka dipercayai anggota Geng Rantau, juga dipercayai tinggal di kawasan terpencil bagi mengelak dikesan pihak polis.

Kumpulan tersebut dipercayai mensasarkan kawasan perumahan mewah untuk melakukan kegiatan pecah rumah dan samun.

"Polis sedang menjalankan siasatan lanjut penglibatan mereka dalam beberapa kes pecah rumah dan samun di negeri ini, terutama di Daerah Timur Laut baru-baru ini, membabitkan kerugian puluhan ribu ringgit," katanya.