Seorang kontraktor didakwa di Mahkamah Majistet Sungai Petani hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki Disember lalu.

Tertuduh, T. Suresh, 41 tahun, hanya mengangguk faham apabila pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Arf Mohamad Shariff.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh seorang lelaki, A. Muniandy, 41 tahun, di Jalan Jati 25, Taman Bandar Baru, Sungai Lalang dekat sini.

Insiden dilaporkan berlaku antara pukul 10 malam dan 4 pagi pada 29 Dis 2018.

Dalam insiden tersebut, mayat Muniandy ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di tempat duduk penumpang bahagian hadapan sebuah kereta Grand Livina putih di tepi jalan di Taman Bandar Baru.

Mayat mangsa ditemui seorang penduduk yang sedang membuat rondaan keselamatan selepas curiga melihat sebuah kereta diletak di tepi jalan dalam keadaan enjinnya hidup dan lampu terbuka.

Hasil siasatan, polis menemui 15 kesan tikaman di bawah mulut, kanan leher dan dada serta tangan kiri dikelar.

Suresh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Majistret kemudian menetapkan 12 Feb depan sebagai tarikh sebut semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nordiyanasari Omar.