SAMA ada anda mahu percaya atau tidak, warga Aceh di Indonesia yang berhajat untuk ke Jakarta harus terbang ke Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum sampai ke ibu negara itu.

Cara sedemikin semata-mata kerana mereka mahu berjimat kos penerbangan memandangkan pesawat langsung ke Jakarta dari Aceh sangat mahal dan tidak masuk akal.

Peningkatan harga tiket penerbangan domestik yang naik berkali ganda mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan penumpang.

Justeru, tidak hairan kenapa warga Aceh harus terbang ke Kuala Lumpur sebelum meneruskan penerbangan ke Lapangan Terbang Sukarno Hatta di Jakarta.

Portal berita Kompas yang melakukan perbandingan harga tiket pesawat mendapati penumpang perlu mengeluarkan kos sebanyak Rupiah 716,800 (RM208.55) untuk terbang dari Banda Aceh ke Kuala Lumpur menaiki pesawat AirAsia sebelum menukar pesawat ke Kuala Lumpur pada hari yang sama.

Berbeza pula kos yang harus dibelanjakan penumpang sekiranya mereka menggunakan pesawat Lion Air dari Banda Aceh terbang ke Kuala Namu, Medan sebelum menukar pesawat Batik Air untuk tiba di Jakarta.

Untuk tiba ke Jakarta menggunakan dua pesawat yang berbeza itu, penumpang dikenakan tambang sebanyak Rupiah 3,012,800 (RM876)

Sebetulnya, portal berkenaan turut melaporkan, sebilangan besar penerbangan ke Kuala Lumpur dari negara jiran itu jauh lebih murah jika dibandingkan dengan penerbangan transit domestik.

Bebanan ini menjadi perbahasan dalam kalangan penumpang termasuk seorang warganegara yang dikenali sebagai M Yanis.

Bagi Yanis, dia sudah sering terbang ke Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum menyambung penerbangan ke Jakarta.

"Saya sering menggunakan penerbangan sebegini dari Banda Aceh ke Kuala Lumpur lalu lanjut ke Jakarta, masih tetap murah melalui Kuala Lumpur.

"Masakan (kos) penerbangan dalam negeri jauh lebih mahal,” luah Yanis, warga Lhokseumawe.

Menurut Yanis, penerbangan langsung dari Banda Aceh ke Jakarta seharusnya menjadi perhatian khusus
bagi syarikat pengendali penerbangan di Indonesia.

Ini kerana, katanya, wilayah Aceh tercatat dalam sejarah sebagai penyumbang pesawat pertama Indonesia di era kepimpinan Presiden Sukarno.

Ini kerana, katanya, wilayah Aceh tercatat dalam sejarah sebagai penyumbang pesawat pertama Indonesia di era kepimpinan Presiden Sukarno.

Harga tiket ke Jakarta yang mahal berbanding ke Kuala Lumpur turut menarik perhatian Gabenor Aceh, Aceh Nova Iriansyah yang kesal dengan perkembangan tersebut.

"Ini sangat merugikan negara. Sudah sampai masanya pengendali penerbangan melakukan kajian mengenai kepentingan masyarakat sebelum menaikkan harga,' ujar beliau.