Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama Ahmad Zukiman Mohd Zain, meninggal dunia di hospital KPJ Tawakkal di Jalan Pahang di sini petang ini.

Allahyarham berusia 57 tahun.

Ahmad Zukiman, yang menghidap fibrosis pulmonari, sejenis penyakit paru-paru kronik, sejak beberapa tahun lepas, dimasukkan ke hospital itu pada Ahad lepas, setelah terjatuh di kediamannya di sini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab berkata beliau dimaklumkan tentang berita sedih itu oleh isteri A llahyarham Ahmad Zukiman, Nik Rozana Nik Hassan, sebelum Maghrib.

"Saya melawat arwah pada hari Isnin. Beliau kelihatan okay… dan boleh berbual dengan kami. Hari ini, saya dimaklumkan arwah dimasukkan ke ICU," katanya, yang melawat arwah bersama-sama Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang.

Zakaria berkata Nik Rozana memberitahunya bahawa jenazah akan dibawa ke Masjid Al-Ansar, Taman Keramat di sini untuk disembahyangkan, sebelum dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat malam ini, tanah perkuburan sama di mana isteri pertamanya Mariam Abdullah disemadikan pada 2014.

Dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan, Ahmad Zukiman meninggalkan isteri dan 11 orang anak termasuk Yasmin, seorang wartawan di Bernama.

"Beliau seorang yang baik, bersuara lembut, berfikiran analitikal dan wartawan yang cukup dedikasi.

"Beliau datang bertugas setiap hari sekalipun dalam keadaan beliau terpaksa mengusung 'portable ventilator' selama beberapa tahun," kata Zakaria.

Pemangku CEO Bernama itu berkata blog Ahmad Zukiman, Bernamaians http://bernamaians.blogspot.com/ diikuti meluas oleh rakyat Malaysia bagi mendapatkan berita perkembangan di Bernama.

"Malahan, beliau terus menulis sepanjang menjalani rawatan di hospital," kata Zakaria, dan menyatakan Ahmad Zukiman dilihat bertugas menggunakan komputer riba semasa beliau menziarahinya Isnin lepas.

Ahmad Zukiman telah berkhidmat dengan Bernama lebih 35 tahun.

Seorang penulis gigih, dan seorang yang penuh budi bahasa dengan pegawai bawahan yang bila-bila saja menemui beliau di pejabatnya di Perkhidmatan Berita Antarabangsa, Ahmad Zukiman akan dirasakan kehilangannya oleh rakan setugas di Bernama dan sahabat di kalangan media. -- Bernama