Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman hari ini tampil menjelaskan mengapa beliau tidak hadir dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat.

Katanya insiden itu berlaku kerana ‘masalah teknikal’ kerana beliau sendiri tidak menyangka giliran soalan bagi sesi jawab lisan dipanjangkan berbanding sebelum ini.

“Tak sangka nak sampai ke nombor 13. Biasanya paling banyak nombor 10 (soalan jawab lisan).

“Kebetulan tadi kita ada acara rasmi dekat kementerian,” katanya kepada media di Lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata telah dimaklumkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat mengenai kekeliruan perkara tersebut.

“Kita akui ada sikit kelemahan.Tapi saya beritahu pegawai untuk berjaga kalau ada keadaan seumpama ini.

“Tapi dari segi jawapan semua kita dah sedia," ujarnya.

Aziz sepatutnya hadir di Dewan Rakyat pagi tadi bagi menjawab soalan nombor 13 yang ditanya Ahli Parlimen Saratok Ali Biju dalam sidang Dewan Rakyat.

Ketidakhadiran timbalan menteri itu dikritik Ahli Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Wee Ka Siong yang menggesa Speaker Parlimen membuat ketetapan sebagai menghina Dewan Rakyat.