Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk Lee Khai Loon menyumbat kangkung ke dalam mulut patung menyerupai Perdana Menteri adalah keterlaluan dan tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata Adun itu harus dikenakan tindakan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai.

"Kita kesal banyak penghinaan digembar-gemburkan apabila berlaku peningkatan harga barang, kita boleh dengar suara-suara, tetapi apabila menegakkan syiar Islam, tidak kedengaran suara pembangkang (PAS).

"Ini yang kita kesalkan, jadi keutamaan dalam perjuangan selaku umat Islam tidak dapat dilihat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Khidmat Amal dan Aktiviti Masyarakat Parlimen Ketereh di Yayasan Kemiskinan Kelantan di Melor, Ahad.

Adun Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dikatakan membuat demonstrasi menyumbat kangkung ke dalam mulut patung yang menyerupai Datuk Seri Najib Tun Razak di sebuah pasar malam di Machang Bubuk baru-baru ini.

Sementara itu, Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata kementeriannya meluluskan permohonan bagi memindahkan pusat latihan GiatMARA Parlimen Ketereh di Kok Lanas ke kawasan baharu yang mampu menampung pelbagai kursus mengikut kehendak pasaran industri.

"Penambahbaikan itu perlu dilakukan memandangkan sekarang ini pusat berkenaan hanya menawarkan tiga kursus kemahiran.

"Jadi perlu kita pertingkatkan untuk anak-anak dan masyarakat luar bandar di Parlimen Ketereh supaya mereka diberi latihan serta kemahiran yang membolehkan mereka mendapat kerja kelak," katanya.