Tindakan sesetengah pihak memburukkan Malaysia di luar negara boleh memberi kesan buruk kepada pasaran kerja anak-anak muda dalam negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata segala dasar dan projek infrastruktur yang dipelopori kerajaan bertujuan memberi keyakinan kepada pelabur luar untuk datang melabur di Malaysia yang akhirnya mencipta pekerjaan untuk orang muda.

Bagaimanapun, katanya tindakan pihak terbabit memburukkan negara atas kepentingan politik hanya akan menjejaskan keyakinan pelabur luar dan mensia-siakan usaha berterusan kerajaan dalam mengembangkan ekonomi negara demi masa depan generasi muda.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terbang ke seluruh dunia bukan hanya untuk mengeratkan hubungan antara Malaysia dengan negara tersebut, tetapi jauh di lubuk hati beliau apabila ada hubungan baik, pelabur luar kenal Malaysia dan mencipta pekerjaan untuk anak muda.

"Apa jua yang beliau lakukan, beliau memikirkan anda, pekerjaan anda, masa depan anda," katanya pada Program Temuduga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Zon Tengah 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini hari ini.

Program yang dirasmikan oleh perdana menteri itu turut dihadiri Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Program yang berlangsung selama dua hari itu menawarkan lebih 15,000 peluang pekerjaan dan latihan kepada pencari kerja melibatkan lebih 150 majikan dengan sasaran 30,000 pengunjung.

Abdul Rahman berkata sejak tahun 2010, sebanyak 2.2 juta pekerjaan baharu diwujudkan di negara ini dengan hampir 700,000 daripadanya adalah pekerjaan berkemahiran tinggi.

"Kerajaan buat program projek besar seperti Transit Aliran Massa (MRT) untuk jadi pemangkin pertumbuhan ekonomi yang memberi kerja kepada anak muda," katanya.

Katanya semua inisitif tersebut bermula dengan satu iltizam iaitu memberi peluang kepada generasi muda mendapat pekerjaan yang seterusnya menjamin masa depan mereka.

-- BERNAMA