Tutup

Tindakan FAA tidak jejaskan kedatangan pelancong luar - Amiruddin

Tindakan FAA tidak jejaskan kedatangan pelancong luar - Amiruddin
AMIRUDDIN: Kerajaan akan meneliti sebab musabab tindakan FAA itu, dan akan mengambil langkah sewajarnya.
JAKARTA: Tindakan pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) menurunkan penarafan keselamatan ruang udara Malaysia, dilihat tidak akan menjejaskan kedatangan pelancong luar ke Malaysia, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah.

Malah beliau yakin, Malaysia akan tetap mencapai sasaran 30 juta pelancong bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020 pada tahun depan, menerusi pelbagai pakej menarik menggalakkan kedatangan pelancong luar itu.
"Saya tidak nampak kenapa pelancong asing tidak datang ke Malaysia, pelancong luar tidak hanya menggunakan pesawat syarikat penerbangan di Malaysia tetapi juga pesawat penerbangan antarabangsa yang lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri "The 5th International Islamic Monetary Economics and Finance Conference" di Jakarta hari ini.

Menurut laporan Reuters, FAA telah menurunkan penarafan keselamatan ruang udara Malaysia, melarang syarikat penerbangan negara itu daripada menambah penerbangan ke Amerika Syarikat, dan penarafan Malaysia telah diturunkan ke Kategori 2.
Amiruddin berkata kerajaan akan meneliti sebab musabab tindakan FAA itu, dan akan mengambil langkah sewajarnya.

Mengenai pertumbuhan ekonomi dunia yang lesu akibat perang dagang antara Amerika Syarikat dan China, Amiruddin berkata pastinya Malaysia juga turut terkesan, namun berharap Malaysia akan tetap mencapai pertumbuhan ekonomi pada kadar 4.7 peratus tahun ini.

"Antara sektor yang kita boleh berbelanja sedikit (laburkan pada tahun depan) tetapi mendapat pulangan besar adalah sektor pelancongan, dan kebetulan tahun hadapan adalah Tahun Melawat Malaysia 2020.

"Kita boleh labur sedikit dari segi promosi untuk pelancongan, sektor ini akan mengembangkan ekonomi, mereka (pelancong luar) yang datang, mereka perlukan hotel, pengangkutan, makanan, cenderamata dan sebagainya, ini akan merangsangkan banyak sektor dalam ekonomi kita," katanya.

-- BERNAMA


Tag: Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat, FAA, penarafan ruang udara malaysia, amiruddin hamzah, pelancong, tahun melawat malaysia



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.