Kumpulan pelajar perempuan Tingkatan Tiga yang membuli seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu sehingga cedera di kepala berhadapan dengan tindakan digantung persekolahan serta-merta.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pihaknya memandang serius dengan kes buli yang berlaku dalam kalangan pelajar dan tindakan lebih keras akan dilaksanakan berdasarkan peraturan sedia ada.

Beliau berkata dalam kes buli yang melibatkan pelajar perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sri Damansara 2 itu, pelajar yang menjadi perancang utama dalam kes berkenaan bakal digantung persekolahan selama enam bulan.

Manakala, pelajar lain yang terlibat dalam serangan buli itu akan digantung persekolahan di antara enam dan lapan minggu.

Mahdzir berkata tindakan menggantung persekolahan pelajar-pelajar terbabit berkuat kuasa serta-merta setelah jawatankuasa disiplin Jabatan Pendidikan mendapati bukti penglibatan mereka.

"Kita mahu segera tetapi perlu ada keadilan. Siasat betul-betul sebelum mengambil tindakan," kata Mahdzir.

Mahdzir berkata kepada media selepas ucap tama pada forum pendidikan dalam Program Jelajah Pendidikan dan Penerangan Dasar-Dasar Utama di AIMTS Universiti di Semeling, Merbok, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata program pemulihan akan dilaksanakan terhadap pelajar-pelajar yang terlibat dengan kes-kes buli agar kesedaran dapat dicapai dalam diri mereka.

Katanya lagi, antara program pemulihan yang bakal dilaksanakan adalah dengan menempatkan pelajar terbabit di sekolah-sekolah pemulihan akhlak selama beberapa minggu untuk mencetuskan tahap kesedaran di samping menghargai kehidupan.

Sementara itu, dalam kejadian buli yang menjadi tular di laman sosial itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata bapa mangsa yang berusia 42 tahun membuat laporan susulan anaknya dibuli oleh rakan sekolah.

Menurutnya, mangsa dipukul selepas tamat waktu persekolahan oleh sekumpulan pelajar Tingkatan Tiga selepas dipercayai berlaku perselisihan faham di dalam kawasan sekolah.

Katanya, seorang daripada dua pelajar perempuan terbabit telah menarik tudung mangsa sehingga terjatuh manakala seorang lagi pelajar telah memijak kepala mangsa ke lantai sebelum menyepak bahu mangsa sehingga menyebabkan kecederaan.

Katanya lagi, mangsa menerima empat jahitan di kepala akibat kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta mengugut.