Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi amaran akan bertindak lebih agresif dalam usaha membanteras gejala rasuah melibatkan sukan bola sepak di negara ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata tindakan keras akan diambil sekiranya pihaknya menerima maklumat serta aduan yang menunjukkan wujudnya unsur ''prima facie'' yang boleh membawa kepada siasatan.

"Saya telah mengarahkan seluruh pegawai SPRM sekiranya maklumat ataupun aduan yang diterima ada menunjukkan ''prima facie'' yang boleh kami menjalankan siasatan, tindakan keras terhadap pelaku itu akan diambil," tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah Sukan anjuran Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) di Institut Sukan Negara, Bukit Jalil di sini hari ini.

Pada program tersebut Azam yang mewakili SPRM dan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR), anjuran PPS sambil disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Dalam pada itu, Azam menafikan kehadiran ahli politik dalam sesebuah organisasi sukan terutamanya dalam persatuan bola sepak mendorong kepada berlakunya gejala tidak bermoral itu, sebaliknya menyifatkan ia merupakan kesalahan individu.

"Terjadinya rasuah itu adalah disebabkan individu itu sendiri. Tidak kira sama ada individu itu ahli politik ataupun orang awam, sekiranya individu itu tidak berintegriti maka akan berlakunya perkara itu," katanya.

Azam berkata isu rasuah dalam bola sepak menjadi tumpuan kerana sukan itu adalah popular berbanding dengan sukan yang lain, namun beliau tetap memberikan amaran kepada badan-badan persatuan sukan yang lain supaya tidak terlibat dalam gejala rasuah.

"Rasuah yang berlaku dalam persatuan bola sepak melibatkan pemain-pemain mungkin kerana mereka ramai, sebab bola sepak adalah sukan popular dan menjadi tumpuan tetapi isu rasuah yang melibatkan pegawai badan awam dalam organisasi sukan dalam negara ini juga tidak boleh dipandang ringan," katanya. -- Bernama