Tindakan pantas empat anggota polis memecah pintu hadapan sebuah unit di Kondominium Sri Mahligai, Seksyen 9 di sini yang sedang terbakar berjaya menyelamatkan dua adik-beradik yang terperangkap.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata dalam kejadian pada pukul 10.32 pagi tadi empat anggota peronda polis yang tiba awal di tempat kejadian telah memecah masuk pintu utama unit kondominum itu selepas mendapat maklumat daripada pusat panggilan kecemasan bahawa disyaki ada mangsa terperangkap.

"Anggota ini mempertaruhkan nyawa mereka mencari mangsa ketika api sedang marak dan berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berumur 13 tahun di salah satu bilik tidur dan abangnya berumur 29 tahun di balkoni," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shafien berkata, kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke tempat selamat sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata dua jentera dengan 16 anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja panggilan diterima.

"Api dapat dikawal lima minit kemudian dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama.

-- Bernama