Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan sederet lapan kedai daripada musnah dijilat api di Jalan Telawi 3, Bangsar di sini, pada Sabtu.

Pegawai Operasi Penolong Kanan Penguasa Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Mohd Firdaus Zulkifli berkata pihaknya tiba di lokasi kejadian enam minit selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 5 petang.

"Apabila tiba di tempat kejadian, api sedang marak membakar tingkat atas sebuah unit kedai berkenaan.

"Kedai yang terbakar adalah sebuah kedai buku dan alat tulis, ini menyebabkan proses pemadaman sukar untuk dilakukan," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, di sini.

Beliau berkata enam jentera dengan kekuatan 27 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, Seputeh dan Pantai dikejar ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran itu.

"Api berjaya dikawal dalam tempoh 30 minit, kerana bahagian atas kedai mengandungi bahan mudah terbakar iaitu buku," katanya.

Beliau berkata punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilapor.

Sementara itu, seorang pekerja kedai berkenaan, Faezah Rahman, 24, berkata ketika kejadian terdapat lapan pekerja dalam kedai berkenaan.

"Kami nak balik...tiba-tiba asap keluar dari tingkat atas, kami semua bergegas keluar.

"Salah seorang pekerja cuba memadamkan api menggunakan pemadam api namun tidak berjaya," katanya sambil menjelas ia kejadian pertama sejak kedai itu beroperasi pada tahun 2012.