Tindakan saman sivil keluarga remaja perempuan warga Ireland Nora Anne Quoirin terhadap pengendali resort The Dusun Pantai Hill, Pantai, Seremban yang menjadi lokasi kehilangan remaja malang itu, merupakan hak peribadi keluarga.

Jelas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, ini kerana kes berkenaan telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Polis hendak maklumkan bagi kes Nora Anne ia tindakan sivil diambil terhadap resort. Itu adalah antara famili dengan resort..

“Bagi kes berkaitan, polis kita classified di bawah SDR, dan SDR tersebut telah kita hantar ke Pejabat Peguam Negara, Putrajaya. Ia berdasarkan pathologist yang telah kita rakam, dan berdasarkan juga sijil kematian pada Nora Anne, Pihak Peguam Negara telah memutuskan kes ini telah di NFA,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Negeri Sembilan, di sini hari ini.

BACA: Ibu bapa Nora Anne saman resort

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini kes remaja malang itu dimana keluarga Nora Anne baru-baru ini telah mengemukakan saman sivil terhadap pengendali resort itu yang merupakan lokasi kehilangan dan kematian remaja berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan pihak Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) bahagian antarabangsa juga ada berhubung dengan keluarga mangsa dan peguam keluarga di United Kingdom (UK).

Terdahulu, gadis lembam itu bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di Resort The Dusun Pantai Hill, Pantai, Seremban pada 3 Ogos, sehari sebelum remaja itu dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya.


Mayat remaja itu ditemukan pada 13 Ogos tahun lepas, iaitu 10 hari selepas kehilangannya oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat dalam keadaan tidak berpakaian berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, sekitar 2.5km dari eko-resort itu.

Polis sebelum ini mengesahkan hasil bedah siasat mendapati remaja itu telah meninggal dunia kira-kira tiga hari sebelum ditemui selain tidak terdapat sebarang unsur jenayah termasuk dakwaan dirogol.

Malah, gadis itu disahkan mati akibat kebocoran pada usus berpunca kelaparan dalam tempoh yang lama dan hanya terdapat kesan calar kecil pada bahagian kaki yang tidak menjerumus ke arah yang boleh menyebabkan kematian kepada mangsa.