Tindakan menyerang Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia Ibrahim Ansar oleh sekumpulan lelaki tidak sepatutnya berlaku.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam berpendapat terdapat cara dan rundingan lain yang boleh dibuat sekiranya hendak melakukan bantahan terhadap sesuatu.

“Itu tidak patut berlaku. Saya rasa apa-apa pembantahan yang dibuat kita kena buat dalam satu suasana yang tidak melibatkan sesiapa dan tidak mencederakan sesiapapun,” kata beliau ketika ditanya mengenai insiden tersebut.

Dalam kejadian pada Ahad itu, sekumpulan lelaki dilaporkan menyerang Ibrahim di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang akibat marah dengan kehadiran bekas Perdana Menteri Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa Parti Politik Asia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada 2 hingga 4 September.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, semalam mengesahkan bahawa lima lelaki telah ditahan di Selangor, Perak dan Kuala Lumpur dan polis masih sedang memburu empat lagi individu ekoran kejadian itu.

Menurut beliau, kesemua mereka yang ditahan berusia 27 tahun sehingga 56 tahun itu akan di siasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah) Khas 2012 (SOSMA).