Tindakan tegas akan dikenakan terhadap pemilik Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) yang menyewakan kediaman mereka kepada orang lain dengan motif untuk mendapatkan keuntungan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pemantauan rapi kini dijalankan kementeriannya bagi mengelak ia disalah guna.

Jelasnya, ini penting bagi mengelak spekulasi pasaran dan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menyita unit berkenaan.

"RUMAWIP disediakan untuk pembeli rumah pertama dan kita tak mahu mewujudkan spekulasi kepada pasaran.

"Biarpun kita tahu ada yang berkemampuan, tetapi kita takkan biarkan perkara ini berlaku.

"Jika ia berlaku, kita akan ambil semula dan senarai hitam pihak yang terbabit," katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran dan sesi cabut undi projek Rumawip Residensi Semarak Platinum pada Sabtu.

Setakat Jun 2017, lebih 60 ribu unit RUMAWIP atau 74.5 peratus daripada sasaran 80,000 unit dibina dan ia dijangka bakal terus meningkat menjelang 2020.