Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengambil tindakan tatatertib ke atas seorang penuntut lelaki kerana melakukan perbuatan tidak bermoral, kata Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UPSI, Dr Mohd Zahuri Khairani.

Beliau berkata perbicaraan dan pendakwaan yang dijalankan terhadap pelajar itu adalah berdasarkan laporan yang diterima dan bukan hasil maklumat daripada media sosial.

"Kes ini akan diselesaikan secepat mungkin berdasarkan pertuduhan, bukti dan saksi selain mahu mengelak unsur-unsur penganiayaan jika hanya berdasarkan maklumat media sosial yang belum diketahui kesahihannya," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun Mohd Zahuri menjelaskan tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap pelajar itu adalah berdasarkan tuduhan yang dilakukannya pada tahun ini.

Beliau berkata kes sebelum ini diserahkan kepada pihak polis dan tindakan telah diambil oleh pihak berkuasa berkenaan.

Pelajar lelaki itu didakwa merakam gambar pelajar wanita berkenaan di dalam tandas dengan menggunakan telefon bimbit dan mengugut akan menyebarkan gambar mangsa sekiranya perbuatan tersebut dilaporkan kepada pihak universiti.

Perbuatan itu turut menjadi viral di media sosial sejak beberapa hari lalu. -- Bernama