Tutup

Tindakan tegas atas penjawat awam negeri sabotaj kerajaan PH - Mukhriz

Tindakan tegas atas penjawat awam negeri sabotaj kerajaan PH - Mukhriz
Bercakap pada sidang media di Alor Setar malam tadi, Mukhriz berkata, penjawat awam diharap tidak mengambil kesempatan atas pendekatan lembut yang diambil kerajaan PH. --fotoBERNAMA
ALOR SETAR: Tindakan tegas bakal dikenakan terhadap mereka yang dengan sengaja cuba menggagalkan pembangunan negeri.

Demikian amaran keras Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir terhadap ketua jabatan dan kakitangan awam di peringkat negeri atau pusat, sekiranya wujud cubaan untuk menggagalkan usaha pembangunan yang dirancang kerajaan.

Jelasnya, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya mereka didapati bersekongkol dengan pembangkang untuk mensabotaj kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Setakat ini, kadang-kadang memang kita kenal, kita tahu latar belakang mereka itu, menyokong parti mana.
"Semua itu, asalkan ia tidak menjejas perkhidmatannya dalam jawatan masing-masing, tidak mengapa, kita tak kisah pun.

"Tetapi, kalau ada unsur-unsur di mana, apa yang dihasratkan oleh kerajaan PH sengaja digagalkan, atau pun disusahkan, perkara begini tidak sepatutnya berlaku.
"Kita kenal, kita tahu, tetapi tidaklah sampai kita nak guna kuasa kita untuk pecat mereka," katanya.

Menurutnya, pihaknya telah mengenal pasti segelintir golongan tersebut yang aktif menyokong parti pembangkang, termasuk menghadiri Perhimpunan Piagam Muafakat Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.

Katanya lagi, kerajaan negeri tidak mempunyai masalah terhadap fahaman politik masing-masing, tetapi berharap pendekatan lembut yang diguna pakai selama ini tidak diambil kesempatan oleh mereka yang terlibat.

Mukhriz berkata, setakat ini pihaknya menggunakan pendekatan menasihati, jauh sekali untuk membuang atau menukarkan mana-mana penjawat awam, walaupun telah mengenal pasti mereka yang terlibat.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media khas selepas perjumpaan dengan komponen PH, di Stargate, di sini, malam tadi.

Turut hadir, pemimpin-pemimpin utama PH negeri.