MAJLIS Belia Malaysia (MBM) memandang serius berkaitan isu penggunaan bendera yang salah pada Majlis Perasmian Piala Lum Mun Cham MABA/Milo ke-28 anjuran Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) di Stadium MABA pada 25 November 2019.

MBM melihat kesalahan pada bendera itu sebagai perbuatan khianat dan sabotaj pihak yang tidak bertanggungjawab. Justeru, permohonan maaf daripada penganjur adalah tidak setimpal dan tindakan tegas perlu diambil. MBM menggesa Polis Diraja Malaysia untuk menyiasat individu yang bertanggungjawab dalam perkara ini kerana telah mencetuskan kemarahan rakyat.

Penganjur perlu lebih peka dan bersifat sensitif terhadap sebarang pengisian semasa majlis rasmi atau tidak rasmi. Sebarang kesalahan terhadap bendera tidak patut timbul kerana umum mengetahui Jalur Gemilang mempunyai 14 jalur merah dan putih, anak bulan dan bintang pecah 14 berwarna kuning yang melambangkan perpaduan rakyat Malaysia yang mendokong Rukun Negara dan menunjukkan perpaduan 13 buah negeri dan kerajaan Persekutuan.

MBM kesal dengan perbuatan khianat ini. Bendera merupakan lambang kedaulatan sesebuah negara yang berkait rapat dengan semangat patriotik dalam mempertahankan ibu pertiwi.



Wan Mohd Husni Abdullah
Ketua Penerangan
Majlis Belia Malaysia