Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana syarikat telekomunikasi yang masih degil dalam isu pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kad prabayar yang terhad kepada warganegara Malaysia sahaja.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menegaskan tindakan itu akan diambil melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia berikutan arahan tersebut telah berkuat kuasa serta merta sebelum ini.

"Saya difahamkan penyelarasan sistem kewangan syarikat telekomunikasi memerlukan masa 10 hingga 14 hari. Ianya memakan masa untuk menyelaraskan semula sistem dalam komputer mereka.

"Tapi selepas ini memang arahan kita arahan yang tegas, tidak ada cukai SST untuk warganegara Malaysia yang membeli kad prabayar," katanya pada sidang media selepas majlis anugerah 'Malaysia Rice Bowl Startup Awards' di sini, Jumaat.

Gobind Singh menegaskan terdapat mekanisme yang telah disusun atur bagi menentukan individu yang membeli kad prabayar itu merupakan warganegara atau tidak.

BACA: Hukuman lebih berat di bawah pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia - Gobind

"Kita telahpun kaji keadaan sedia ada dan mengambil kira bahawa kita boleh buat keputusan atau perbandingan antara warganegara mahupun warga asing di atas dasar itu. Jadi keputusan dibuat untuk menentukan harga berbeza bagi kedua-dua golongan ini," katanya.

Tambahnya, aduan boleh diajukan kepada kementerian sekiranya terdapat SST dikenakan kepada mana-mana pengguna yang membeli kad prabayar.

Pelaksanaan SST yang berkuatkuasa 1 Sept menyaksikan segelintir pengguna melahirkan rasa tidak puas hati apabila nilai akhir kad tambah prabayar telefon bimbit yang dibeli mereka dipotong dengan sejumlah amaun berikutan SST.

Pada 5 Sept, Kementerian Kewangan mengarahkan syarikat-syarikat pembekal perkhidmatan telekomunikasi kad prabayar supaya mengecualikan cukai perkhidmatan kepada pelanggan warganegara Malaysia.

-- BERNAMA