Tindakan tegas akan diambil terhadap kakitangan Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa atau salah urus tadbir di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, beliau akan berkerjasama dengan badan berkaitan pencegahan salah guna kuasa untuk memantau GLC di negeri ini agar dapat ditadbir urus dengan baik.

Katanya, tindakan kakitangan GLC yang terbabit dalam salah guna kuasa akan memberikan kesan yang tidak baik ke arah memperkasakan GLC sebagai peneraju pendapatan negeri.

Mohd Shafie menyatakan, GLC di negeri ini akan dapat diletakkan di landasan yang betul sekiranya ia diurus dengan baik dan tidak dicemarkan dengan salah guna kuasa.

"Saya akan membuat pemantauan bersama badan berkaitan, saya juga tidak akan nyatakan bagaimana melainkan apabila kita dapati ia berlaku tindakan tegas akan diambil."

"Kita mengambil langkah ini kerana bukan sahaja mahu menunjukkan contoh yang baik tetapi untuk menambah baik pengurusan GLC,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Kursus Lembaga Pengarah Badan Berkanun dan Agensi Kerajaan Negeri, di salah sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Beliau juga menyeru kakitangan GLC agar dapat menjadikan kesilapan yang bukan disengajakan sebagai pengajaran dalam memperbaiki urus tadbir dalam agensi kerana kegagalan memperbaiki kesilapan itu akan menyebabkan ia menjadi 'virus' yang boleh menyebabkan agensi itu jatuh.

Tegasnya, hala tuju perniagaan juga perlu difahami kakitangan sesebuah GLC agar ia sentiasa mengikut landasan yang sepatutnya sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mejadikan GLC ini sebuah sebuah entiti yang memainkan peranan penting dalam menjana pembangunan ekonomi Negeri.

"Kalau ia diurus tadbir dengan baik maka ianya akan dapat kita jayakan dan kita kena faham seperti yang saya tekankan kita kena belajar dari kesilapan."

"Sebelum ini kita juga melihat terdapat entiti kerajaan ataupun GLC ini ditutup disebabkan kegagalan melaksanakan pengurusan pentadbiran dengan baik," katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga akan membuat penstrukturan semula GLC di negeri ini bagi meningkatkan keberkesanan fungsi organisasi ini.

Mohd Shafie berkata, penstrukturan semula ini perlu bagi mengurangkan pertindihan tugas, pembaziran serta ketirisan sumber dan dana kerajaan sekali gus memenuhi aspirasi rakyat Sabah.

Terdapat juga beberapa GLC yang akan dimansuhkan namun akan diumumkan kemudian hari, kerana agensi berkenaan gagal menjana pendapatan yang konsisten malah mengalami kerugian berterusan selama tempoh hampir 10 tahun.