Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata tindakan lebih serius dan tegas perlu diambil oleh pihak berkuasa bagi menangani budaya buli di sekolah dan gengsterism dalam kalangan belia.

Beliau berkata ini bagi memastikan kes serangan dan penderaan ke atas seorang remaja, T. Nhaveen, 18, di Jalan Kaki Bukit, Georgetown, Sabtu lepas tidak berulang.

"Saya menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap pelaku jenayah kejam ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Subramaniam turut mengucapkan takziah kepada anggota keluarga remaja tersebut.

Beliau berkata ia sungguh menyayat hati apabila perlakuan ganas dalam kalangan pelajar boleh menyebabkan kehilangan besar kepada sebuah keluarga, yang meletakkan pelbagai harapan dan aspirasi terhadap masa depan anak mereka.

"Kami bersimpati dengan ibu bapa T. Nhaveen dan anggota keluarga terdekat mereka. Tiada perkataan dapat menggambarkan kehilangan dan kepedihan yang dirasai mereka," katanya.

Remaja itu meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang pada 6 petang, semalam.

Dalam kejadian pada 2.10 pagi itu, remaja tersebut bersama rakannya, T. Previin, 19, sedang membeli burger apabila mereka ternampak dua individu yang dikenali mereka dan mula saling mengejek antara satu sama lain, sebelum enam lagi individu datang menghampiri.

Kedua-dua mangsa dipercayai dipukul dengan topi keledar, ditumbuk dan ditendang oleh kumpulan itu sebelum mangsa yang berusia 19 tahun berjaya melarikan diri dan memberitahu bapa saudaranya mengenai kejadian tersebut.

-- BERNAMA