Kerajaan Melaka akan mengambil tindakan tegas termasuk menarik lesen perniagaan pasar raya dan peniaga di negeri itu yang gagal menyediakan beg biodegradasi atau beg kertas kepada pelanggan, berkuat kuasa 1 Jun ini.

Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka Datuk Md Yunos Husin berkata tindakan itu selaras dengan kempen 'Melaka Tanpa Beg Plastik' yang mula dikuatkuasakan 1 Jan tahun ini.

"Ada peniaga mengambil kesempatan meraih keuntungan dengan pelaksanaan ini kerana mereka tidak memberi langsung alternatif lain bagi menggantikan beg plastik untuk membungkus barangan atau makanan yang dijual.

"Kita telah memberi tempoh sangat lama kepada peniaga kedai runcit mahupun pasar raya besar di negeri ini agar melaksanakan kempen itu, namun mereka masih gagal mematuhi dengan sebaiknya," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan 'Giant Banner' dan 'Pelekat Melaka Tanpa Beg Plastik dan Polisterin' kepada semua pasar raya di negeri ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka Datuk Kamarudin Md Shah.

Md Yunos berkata pemantauan lebih ketat akan dilaksanakan pihak berkuasa tempatan di negeri ini iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Perbandaran Hang Tuah, Majlis Perbandaran Jasin dan Majlis Perbandaran Alor Gajah dalam memastikan peniaga menyediakan beg tersebut kepada pelanggan.

Selain itu, beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Melaka juga akan terlibat dalam penguatkuasaan berkenaan bagi memastikan beg yang digunakan adalah jenis biodegradasi mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

"Orang ramai yang berdepan dengan keengganan peniaga menyediakan beg biodegradasi atau beg kertas kepada mereka boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan di negeri ini dan Perbadanan Teknologi Hijau Melaka," katanya.

Beliau berkata Perbadanan Teknologi Hijau Melaka telah mengenal pasti 13 pembekal produk biodegradasi di dalam dan luar Melaka yang berupaya membekalkan bekas makanan dan beg biodegradasi kepada peniaga di seluruh negeri itu.