Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan berkompromi dengan pengusaha makanan di ibu kota yang gagal mematuhi larangan penggunaan polisterin berkuatkuasa 1 Sept lepas.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata DBKL akan mengambil tindakan tegas dengan mengeluarkan notis amaran dan kompaun malah tidak teragak-agak menarik semula lesen perniagaan mereka terbabit.

"Bulan ini kita giat adakan pemantauan, kita tanya dia apa masalah (kenapa masih guna polisterin), kita sudah beri cukup ruang dan masa kepada mereka.

"Kementerian juga telah berbincang dengan pihak pembekal produk pembungkusan bahan biodegradasi supaya menawarkan harga borong, jadi sepatutnya tiada lagi alasan diberi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival GERAH SPRM-DBKL dan Pelepasan Kembara Jelajah Anti Rasuah 2017 di sini pada Ahad.

Kompaun maksimum RM2,000 akan dikenakan kepada peniaga dan penjaja di Wilayah Persekutuan yang menggunakan bungkusan plastik dan polisterin bermula 1 September lepas.

Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan berkata DBKL juga sedang meneliti kesesuaian membenarkan servis sewa dan tunggang basikal yang disediakan syarikat swasta di ibu kota.

"Kita sedang lihat business model mereka, kita mahu pastikan dahulu ia betul- betul selamat kepada pengguna dan tiada unsur meragukan dari segi sistem bayaran dan perkhidmatan, " katanya.

Tengku Adnan berkata pada masa sama pihaknya juga sedang mengkaji untuk menambah infrustruktur diperlukan seperti laluan berbasikal baharu dalam menggalakkan gaya hidup sihat tersebut.

-- BERNAMA