Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertindak tegas sekiranya terdapat kumpulan samseng yang cuba melindungi sindiket sampah import di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jika perbuatan sedemikian dikesan berlaku di negara ini, maka ia tidak boleh dibiarkan.

Beliau berkata perbuatan sedemikian sudah tentu menyalahi undang-undang negara dan tindakan perlu diambil untuk membanterasnya.

"Ketua Polis Negara (Datuk Seri Abdul Hamid Bador) tidak akan beri ruang kepada mereka ini (kumpulan samseng)...mesti ada tindakan. Jika ada maklumat berhubung isu ini, saya minta segera lapor kepada PDRM," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Kelestarian Pertubuhan, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan terdapat kumpulan samseng yang cuba melindungi sindiket sampah import di negara ini.

-- BERNAMA