Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menegur tindakan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mengatakan kerajaan akan ‘memburu’ semua syarikat telekomunikasi termasuk syarikat tempatan bagi mendapatkan tajaan kempen membaca kebangsaan.

Jelasnya, tindakan syarikat telekomunikasi yang didakwa menjauhkan masyarakat daripada membaca bukan satu jenayah.

“Ini bukan jenayah. Kita kena lihat perubahan zaman ini. Setiap kali ada pembaharuan apa yang kita lakukan ialah kebaikan kepada negara ini. Pada saya jenayah itu satu perkara berat dan ini bukan sekadar jenayah,” katanya kepada media selepas melancarkan #Mydigitalmaker Champion School dan Digital Maker Hub SJKT FES Serdang.

Mengulas lanjut, katanya, kerajaan bagaimanapun boleh merangka satu polisi baharu dengan memastikan
setiap syarikat telekomunikasi mendukung pelaksanaan dasar berkenaan.

“Dalam masa nak pastikan semua terus memperkasakan tabiat membaca ini terutama pada zaman moden yang dikelilingi media sosial, kita kena belajar bagaimana nak menggunakannya dengan lebih bertanggungjawab. Inilah perkara yang kita perlu bincang dengan syarikat telekomunikasi dan semua pemain industri terlibat,” katanya lagi.

Semalam, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kerajaan akan ‘memburu’ semua syarikat telekomunikasi tempatan bagi mendapatkan tajaan kempen membaca kebangsaan.

Katanya syarikat telekomunikasi menikmati keuntungan cukup tinggi maka seharusnya memberi semula kepada masyarakat dengan menunjukkan sokongan terhadap kempen membaca.