Tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang memfitnah Tabung Haji (TH) kononnya ia kini dikawal parti DAP, semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Menteri itu berkata beliau tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang memainkan isu melibatkan orang Islam itu semata-mata untuk mendapat undi.

"Mereka berleluasa terutama di kempen kali ini dengan membawa pembohongan kononnya TH sekarang ini di bawah DAP dan menteri agama tunduk kepada DAP," katanya kepada pemberita di sini.

Mujahid menarik perhatian bahawa beliau sebelum ini menang satu kes saman terhadap seorang ahli akademik yang mendakwa dirinya kuda tunggangan DAP sebelum ini.

Naib presiden Parti Amanah Negara itu turun berkempen memastikan kemenangan calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Zainali yang berdepan pertandingan empat penjuru bagi kerusi DUN Semenyih, 2 Mac ini.

Calon lain ialah Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), calon Bebas Kuan Chee Heng dan Nik Aziz Afiq Abdul daripada Parti Sosialis Malaysia.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu yang mewakili PH pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

-- BERNAMA