Penyeludup rokok sanggup meninggalkan lori dipandunya di tepi jalan selepas menghidu kehadiran pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Dalam serbuan jam 8.15 pagi kelmarin di Kampung Belimbing, Tanah Merah, JKDM berjaya merampas 5,079,200 batang rokok seludup.

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Rakbi Mat Saud berkata, rampasan itu dibuat oleh JKDM Kelantan Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Kubor selepas mendapati sebuah lori ditinggalkan di tepi jalan.

Katanya, lori yang bernombor pendaftaran tempatan itu dipercayai ditinggalkan pemandu selepas dapat menghidu kehadiran pihal berkuasa.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan anggota kami menemui 490 kotak rokok berisi 5,079,200 batang rokok jenama Luffman dan Pine berada dalam lori yang ditutup dengan kanvas.

“Rokok itu disyaki dibawa masuk secara haram dari luar negara ke Malaysia melalui sempadan Sungai Golok dan digunakan untuk pasaran di luar Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, rampasan di Kampung Belimbing itu adalah antara rampasan terbesar yang pernah dipatahkan oleh pasukan Penguatkuasaan JKDM Kelantan tahun ini.

Menurutnya, JKDM sedang mengesan pemilik lori yang dirampas dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam kes berasingan Mohd Rakbi berkata, pihaknya juga berjaya menahan seorang lelaki warga Thailand dan merampas sebanyak 334,240 batang rokok pelbagai jenama pada 9.15 malam semalam.

Katanya, lelaki terbabit ditahan di sebuah premis di Kota Bharu selepas pihaknya menerima maklumat.

“Rokok yang dirampas ini bernilai lebih RM300,000 termasuk cukai. Kita juga menahan seorang lelaki warga Thailand yang berada dalam premis untuk siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang kes atau RM 100,000 yang mana lebih tinggi dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang kes atau RM 500,000 yang mana lebih tinggi atau penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua- duanya sekali,” katanya.

Beliau menyeru orang awam untuk memberi kerjasama kepada pihak JKDM khasnya Negeri Kelantan dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan barangan seperti rokok, minuman keras, mercun dan lain- lain dengan menghubungi di talian 09-7447009 serta Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.

Katanya, pihak JKDM memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.