Penglibatan Bumiputera perlu dipertingkat dalam platform Digital e-Dagang Bohai Commodity Exchange Co (BOCE) Malaysia/ASEAN selain agensi perdagangan tempatan yang disertai peniaga tempatan selama ini.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, ia sekali gus memperkembangkan kebolehan dan membuka pasaran usahawan ke seluruh dunia.

"Adalah menjadi harapan saya, kerjasama dengan China ini dapat mengadakan skim khas untuk memberi penjelasan, penerangan dan kursus khas kepada komuniti peniaga Bumiputera.

"Bagaimana asasnya sekarang ada kecil dan sederhana, bagaimana cara hendak kembangkan lagi dan sertai dalam sistem bursa komuniti rantai ini dan seterusanya pada peringkat global," katanya.

BACA: Manfaatkan kekuatan negara untuk ekonomi ASEAN - Tun Mahathir

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu negara anggota ASEAN memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk memastikan ekonomi gabungan itu terus teguh dan dinamik di rantau ini.

Jelas Dr Mahathir, integrasi negara-negara ASEAN penting untuk menyokong pertumbuhan ekonomi global dan kemakmuran.

Katanya, keunikan ekonomi ASEAN adalah kerana ikatan hubungan sejarah, budaya dan persamaan dalam sistem nilai.

Dalam pada itu kata Rahim, Gabem sendiri akan membuat inisiatif dan mendapatkan maklumat jelas tentang isu berkenaan.

Ia termasuk kursus penerangan dan perdagangan komoditi antarabangsa di negara ini.

"Anak Melayu kini banyak terlibat dalam perniagaan atas talian namun kecil-kecilan dan tidak jauh beza dengan sistem ini," jelasnya.

Katanya lagi, ia langkah baik dalam era bursa komoditi sekali gus menjadi pembangunan ekonomi negara ke pasaran ASEAN.