Seorang jurutera kerugian RM7,600 selepas terpedaya dengan tawaran pakej umrah yang tidak wujud oleh seorang ejen sebuah syarikat pelancongan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Yusof berkata mangsa, 43, telah berurusan dengan ejen untuk menempah pakej umrah bernilai RM3,800 seorang pada Oktober tahun lepas.

"Pada 11 Okt lepas, isteri mangsa telah memasukkan RM7,600 bagi bayaran pakej umrah untuk dua orang ke dalam akaun syarikat yang diberi oleh suspek dengan tarikh penerbangan pada pakej penerbangan ialah 21 hingga 31 Dis tahun lepas.

"Ketika mangsa menghubungi pembantu suspek sehari sebelum penerbangan untuk mengesahkan semula tentang tarikh itu, dia dimaklumkan ia terpaksa ditunda kepada 31 Dis berikutan masalah visa. Sekiranya mangsa mahu membatalkan pakej itu, pihak syarikat berjanji akan memulangkan balik bayaran dalam masa dua bulan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bagaimanapun selepas dua bulan belum mendapat wang balik seperti dijanjikan, mangsa kemudiannya membuat laporan polis.

Sementara itu, dalam kes berasingan seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun mengalami kerugian RM5,360 selepas terpedaya dengan seorang individu bagi pembelian wang siling lama.

Wazir berkata, mangsa menerima mesej melalui media sosial daripada seorang individu yang berminat untuk membeli wang siling yang diiklankan mangsa dengan menawarkan harga AS$35,000.

Individu tersebut, bagaimanapun meminta mangsa memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan sebagai prosedur transaksi antarabangsa.

"Mangsa yang terpedaya dengan alasan itu telah melakukan beberapa transaksi wang bermula Selasa lepas ke dalam akaun bank berkenaan dengan tujuan mengaktifkan akaun tersebut berserta bayaran cukai dengan jumlah keseluruhan RM5,360," katanya.

Katanya mangsa mula menyedari ditipu selepas suspek meminta lagi wang sebelum membuat laporan polis di sini, semalam.

Kedua-kedua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA