Hasrat seorang ahli perniagaan untuk mendapatkan khidmat sewaan kren terapung bagi kegunaan kerja-kerja di Pelabuhan Kuantan tidak kesampaian apabila mengalami kerugian RM100,000 selepas mendakwa dia diperdaya sebuah syarikat, Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd Wazir Mohd Yusof memberitahu, mangsa lelaki berusia 51 tahun itu pada mulanya berminat untuk menyewa kren terapung dengan sewaan sebanyak RM750,000 sebulan.

"Mangsa kemudian berhubung dengan seorang lelaki selaku pengurus syarikat itu. Selepas membuat perbincangan mangsa bersetuju menyewa kren itu untuk tempoh sehingga projek berkenaan selesai.

"Selepas itu, mangsa diminta untuk membuat pembayaran deposit sebanyak RM100,000 kepada syarikat berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Jelasnya, pada 8 Mac lalu, mangsa memasukkan wang sebanyak RM100,000 ke dalam satu akaun bank atas nama syarikat berkenaan.

"Bagaimanapun selepas itu, pengurus syarikat itu mendakwa mereka tidak dapat menghantar kren terapung itu atas beberapa masalah. Mangsa ada menghubungi pengurus itu untuk mendapatkan semua wang deposit berkenaan namun dia memberi pelbagai alasan," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang tidak berpuas hati kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.