KUALA LUMPUR:Semua ahli politik kerajaaan dan pembangkang perlu terbuka dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi sama-sama mengatasi masalah yang membelenggu negara ketika ini.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, titah itu menuntut kerjasama dan kesefahaman yang jitu antara kedua-dua pihak.

Menurut beliau, tanpa kerjasama, ia boleh mencetuskan krisis dalam keadaan negara kini berdepan pandemik COVID-19.

“Jadi kedua-dua belah pihak harus memberi fokus kepada usaha untuk menangani masalah ini (rakyat dan COVID-19) secara bersama dan bukannya melakukan sesuatu yang boleh memporak-perandakan kestabilan politik negara,” katanya menerusi temu bual secara langsung menerusi slot AWANI Sarawak pada Ahad.

Selain itu, Dr Jeniri berkata, semua ahli parlimen wajar bersikap matang dan tidak sesekali meletakkan kepentingan politik dan peribadi mendahului kepentingan rakyat.

Malah katanya, sikap matang itu juga perlu diterjemahkan menjelang persidangan Dewan Rakyat dan pembentangan Belanjawan 2021 awal bulan depan.

“Semua memimpin perlu memberi sokongan kepada Belanjawan yang akan dibentangkan bagi membolehkan negara ini menangani apa sahaja masalah ekoran ancaman COVID-19.

“Sekiranya perkara ini tidak berlaku (sokongan) dan Belanjawan 2021 gagal diluluskan, ia akan mendatangkan masalah kepada negara.

"Sehubungan itu, segala kesalahan perlu diletakkan sepenuh kepada ahli parlimen yang tidak menyokong Belanjawan tersebut sekali gus menyusahkan rakyat," katanya.

BACA: Tiada keperluan isytihar darurat - Istana Negara

Terdahulu menerusi titahnya, Yang di-Pertuan Agong mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politicking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara.

Malah Baginda turut berpendapat bahawa tiada perlunya ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.