TITAH Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengenai keperluan menganjak Bangsa Melayu mendapat perhatian ramai.

Titah baginda yang menyentuh Bangsa Melayu perlu berani melakukan perubahan minda secara radikal dalam mengharungi cabaran landskap negara yang kini telah berubah harus dihayati dan difahami sedalam-dalamnya.

Titah baginda, orang Melayu yang gagal melakukan pengubahsuaian minda untuk menghadapi senario baru dalam negara, dibimbangi akan menghadapi nasib kepupusan seperti dinosaur.

Berikut titah penuh Sultan Nazrin:


“PENGHIJRAHAN MINDA – PENGHIJRAHAN BUDAYA”

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, lebih dikenali dengan rujukan ringkas GPMS, dicetuskan idea penubuhannya, semasa berlangsungnya Kongres Penuntut Melayu Malaya, pada 14 dan 15 Ogos 1948, oleh Aminuddin Baki, bersama Abdullah Majid dan Wan Sulaiman Pa’wanteh, pelajar-pelajar Raffles College, serta Abdul Wahab Mohamed Ariff, Siti Hasmah Mohd. Ali dan Mohd Nor Marahakim, pelajar-pelajar King Edward College of Medicine, Singapura.

2. Pada tahun 1948, rekod menunjukkan, pelajar King Edward College of Medicine berjumlah 312 orang, bilangan pelajar Melayu hanya 25 orang (merupakan, 8 peratus daripada jumlah pelajar); pelajar di Raffles College, berjumlah 300 orang, bilangan pelajar Melayu hanya 33 orang (merupakan 11 peratus daripada jumlah pelajar), dan pelajar Malaya di United Kingdom berjumlah 200 orang, bilangan pelajar Melayu hanya 38 orang (merupakan19 peratus daripada jumlah pelajar); bererti pada tahun 1948, terdapat hanya 96 orang pelajar Melayu mengikuti pengajian di peringkat tertiary.

3. Kongres yang berlangsung pada 14 dan 15 Ogos berpendapat, bahawa GPMS wajiblah di dirikan dengan tujuan menjaga hak-hak, mengemukakan segala permintaan dan memperbaiki keadaan pelajar-pelajar Melayu daripada segenap lapisan. Salah satu daripada empat kesedaran yang terkandung di dalam Mukadimah GPMS ialah:

“Sedar bahawa maju-mundur, kaya-miskin dan hina mulianya bangsa itu terletak di tangan kami.”

4. Kesedaran tersebut menegaskan, bahawa maju, kaya dan mulianya bangsa, terletak di tangan orang Melayu; kesedaran tersebut juga menegaskan bahawa mundur, miskin dan hinanya bangsa itu turut terletak di tangan orang Melayu. Kesedaran tersebut adalah satu keinsafan - satu pengakuan - satu lafaz - satu ikrar.

5. Aminuddin Baki, setelah memperoleh ijazah, tidak memilih menyertai perkhidmatan Malayan Civil Service atau MCS, yang ketika itu dianggap lebih glamorous, tetapi memilih menjadi seorang guru, kerana Aminuddin mempercayai, bahawa pendidikan berperanan amat berpengaruh di dalam mencanai minda bangsa, agar bangsa berfikiran berani sebagai bangsa yang merdeka, bangsa yang mindanya tidak berjiwa hamba yang terjajah.

6. Bangsa Melayu yang mahu maju dan dihormati, hendaklah terdiri daripada bangsa yang berani berminda terbuka – berminda merdeka, minda yang tidak membenarkan dirinya menjadi hamba kepada kekayaan material – kemewahan kebendaan serta minda yang tidak membenarkan dirinya menjadi abdi kerana tarikan jawatan – tarikan gelaran, hingga bersedia menggadaikan prinsip dan kebenaran.

7. Suara para pejuang GPMS yang gemakan sejak tahun 1948, telah berjaya mempengaruhi dasar-dasar tertentu di dalam negara, terutama di dalam program pendidikan, paling terserlah selepas Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan. Program Dasar Ekonomi Baru yang paling berjaya ialah program pendidikan, program mengilmukan bangsa. Melalui program pendidikan, bilangan kumpulan menengah Melayu telah berjaya ditambah. Anak-anak daripada desa, daripada keluarga petani dan nelayan, anak-anak buruh dan penoreh getah, anak-anak penjual sate dan penarik beca, anak-anak kakitangan awam berjawatan rendah, berjaya dihijrahkan kehidupan mereka melalui program pendidikan. Mereka menjawat pelbagai jawatan baik di dalam sektor awam mahupun swasta, di dalam pelbagai profesion, menjadi pensyarah, akauntan, peguam, jurutera, doktor, pilot, banker dan pelbagai lagi.

8. Pada hakikatnya, bilangan profesional Melayu telah bertambah. Walaupun bilangan profesional Melayu telah bertambah, namun secara relatif, bilangan profesional Melayu di bumi ini, masih berada di belakang, berbanding kaum-kaum lain. Hakikat yang juga wajib disedari, jurang kekayaan berlaku secara lebih ketara bukan sahaja antara Melayu dengan bukan Melayu, tetapi antara Melayu yang berada dengan Melayu yang tidak berada.

9. Jurang yang sedang berlaku, tidak lagi boleh disalahkan kerana dasar diskriminasi dan dasar pecah - perintah Kerajaan Kolonial Inggeris, kerana jurang ini berlaku, pada ketika bangsa berada di bawah pemerintahan kerajaan merdeka, di bawah pimpinan politik Melayu, dengan penggubalan dasar-dasar yang disifatkan memberi kelebihan kepada orang Melayu, dan ketika amanah menggubal dan melaksana dasar diserahkan kepada majoriti orang Melayu. Hakikat turut menunjukkan, pelbagai skandal menyentuh amanah, rasuah dan integriti, dilaporkan semakin berlaku, malah berlaku pada skala yang begitu besar; dilakukan oleh profesional Melayu, perlakuan yang amat bercanggah dengan pegangan agamanya Islam, dan budaya bangsa Melayu yang sangat menegaskan aspek-aspek jujur, amanah, harga diri dan maruah. Berlaku pelbagai ketirisan – berlaku pelbagai penyimpangan di peringkat perlaksanaan dasar, mengakibatkan matlamat dan sasaran program ekonomi untuk orang Melayu, gagal mencapai sasaran.

10. Kepincangan yang sedang berlaku, menuntut kepada perlunya orang Melayu mengakui kesilapan, lalu bertekad, segera melakukan pembetulan. Jika orang Melayu tidak ada kesungguhan mahu melakukan pembetulan, dibimbangkan akan muncul di pentas hidup Malaysia moden, lebih ramai watak Lebai Malang dan Pak Pandir, watak-watak seperti yang digambarkan di dalam kisah-kisah jenaka rakyat. Mat Jenin moden muncul di pentas hidup masa kini, disebabkan sifat kurang disiplin di kalangan anak Melayu yang pernah diberikan banyak peluang menjadi kaya, tetapi terlalu awal bermimpi asyik, hingga terhempas jatuh ke tanah. Akibatnya orang Melayu menghadapi nasib Pak Kaduk, menari-nari dalam sorak kemenangan palsu, diiringi korus, membiarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Akibatnya bangsa menghadapi nasib menang sabung - kampung tergadai.

11. Sudah 70 tahun GPMS ditubuhkan. Sudah 61 tahun negara mencapai kemerdekaan. Landskap negara secara fizikal, sosial, ekonomi dan politik telah berubah. Landskap negara yang berubah, menuntut bangsa berani melakukan perubahan minda secara radikal untuk mengharungi cabaran baru. Orang Melayu yang gagal melakukan pengubahsuaian minda untuk menghadapi senario baru, dibimbangkan akan menghadapi nasib pupus seperti dinosaur. Dinosaur mempunyai tubuh yang besar tetapi minda yang kecil; minda yang tidak berupaya melakukan pengubahsuaian selaras dengan perubahan persekitaran, memilih kekal hidup dengan habitat lama, lalu populasinya mengecil, pada akhirnya terus pupus, yang tinggal hanyalah bahan-bahan fosil, dipamerkan di muzium dan dijadikan bahan kajian.

12. Orang Melayu wajib meneliti realiti semasa, menerima hakikat bahawa telah wujud persekitaran baru di pentas negara dan di pentas dunia. Orang Melayu wajib mencelikkan mata, segera bangun daripada olekkan mimpi hari semalam, berani memamah realiti baru walau sepahit mana sekalipun. Orang Melayu memerlukan kaedah perjuangan baru untuk memastikan kelestarian bangsanya dalam menghadapi iklim baru politik pasca Pilihanraya Umum keempat belas, pada era petai dan jering, tempoyak dan budu, pucuk ubi dan pucuk paku, keledek dan keladi, sudah dimakan secara bergarpu bersudu, dihidangkan di hotel ternama lima bintang, agar orang Melayu tidak tercicir ketika menghadapi era Revolusi Industri Keempat dan era artificial intelligence. Orang Melayu hendaklah pantas mengubah minda, berani memeriksa kesalahan diri sendiri, lalu melakukan penghijrahan minda dan penghijrahan budaya, daripada terus berada di dalam minda penafian untuk menyalahkan orang lain.

13. Firman Allah Subhanahu Wata’ala di dalam ayat 11 surah Ar-Rad bermaksud:

“...Sesungguhnya ALLAH tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka. Dan apabila dikehendaki oleh ALLAH keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada Nya”.

14. Sembilan puluh enam (96) orang pelajar Melayu yang mengikuti pengajian di United Kingdom, di Raffles College dan di King Edward College of Medicine Singapura pada tahun 1948, adalah antara perintis kepada kelahiran inteligensia Melayu. Mereka mencipta kejayaan, kerana minda mereka serta minda keluarga mereka berani keluar daripada tempurung pemikiran yang sempit. Ketika ramai keluarga Melayu pada era tersebut, mencurigai untuk menghantar anak-anak belajar ke sekolah berbahasa pengantar Inggeris, kebetulan pula banyak daripada sekolah tersebut di pelopori oleh mubaligh Kristian, dengan tanda salib terpampang jelas pada bangunan sekolah, keluarga kepada 96 pelajar ini, telah berani merentasi sempadan budaya, memasukkan anak-anak mereka ke alam persekolahan yang terletak di luar lilitan bulatan atau circumference bangsanya. Tidak pula kedengaran kepada kita, ada di kalangan mereka yang murtad atau menganut agama Kristian. Malah dengan keberanian melakukan penghijrahan minda, dan kegigihan memasuki gelanggang yang terletak di luar komuniti bangsanya, jiwa dan semangat Melayu mereka menjadi lebih kental; di kalangan mereka yang mengahwini gadis Inggeris, perkara yang sebaliknya berlaku, gadis-gadis Inggeris tersebut yang memeluk agama Islam.

15. Orang Melayu jika mahu dimajukan, tidak harus ditakutkan dengan bayang-bayang. Anak Melayu jangan ditakutkan dengan kisah tahayul, ditakut-takutkan kepada kawasan perkuburan yang dimomokkan sebagai tempat hantu berkampung. Bangsa Melayu tidak boleh maju kalau kekuatan bangsa mahu dibina dengan jiwa atau psychye yang ditakut-takutkan. Di sebaliknya orang Melayu akan menjadi lebih kuat dan lebih yakin, jika jiwa mereka dibina dengan semangat berupaya melakukan pengubahsuaian kepada persekitaran yang sudah berubah, diberanikan untuk melakukan adaptasi selaras dengan dinamik dunia yang tidak pernah statik, dan digalakkan untuk terjun ke dalam lautan yang lebih luas lagi pelbagai. Berhentikan sifat menyalahkan tanah yang tinggi rendah, bila tidak pandai menari; Melayu hendaklah menjadi penari hebat meskipun tanah tinggi rendah.

16. Sesuai dengan cogan kata GPMS, BELAJAR! TERUS BELAJAR, demi kelangsungan bangsa, orang Melayu hendaklah terus disemaikan dengan kesedaran untuk terus belajar, dan orang Melayu pada setiap masa hendaklah mengamalkan budaya belajar! terus belajar.



*Sultan Nazrin bertitah pada Malam Semarak Perjuangan Sempena Anugerah Tokoh Srikandi 2018 anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bertarikh 20 Julai 2018