Kesemua titik panas dikesan dalam negara akan disiasat dan diambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G.Palanivel.

Beliau berkata semalam sebanyak 16 titik panas dikesan dalam negara melalui imej satelit Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan iaitu di Selangor (satu), Johor (satu) Pahang (dua), Sabah (lapan) dan Sarawak (empat).

"Bagaimanapun, satelit tidak dapat memaparkan jumlah sebenar titik panas berikutan cerapan satelit tidak menyeluruh dan terdapat litupan awan tebal," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sehingga semalam mengesan sebanyak 3,973 kes pembakaran terbuka dengan jumlah tertinggi ialah kawasan pertanian (1,271 kes), kawasan belukar (924 kes), kawasan hutan (840 kes), lain-lain pembakaran terbuka kecil (724 kes), kawasan pembinaan (117 kes), tapak pelupusan sampah (69 kes) dan kawasan industri (31 kes).

Dalam pada itu, Palanivel berkata satu titik panas dikesan di Sumatera, Indonesia semalam.

Sementara itu bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat pukul 1 tengah hari ini menunjukkan 30 lokasi mencatatkan bacaan IPU baik sementara 20 lagi mencatatkan bacaan IPU sederhana.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), lokasi yang mencatatkan bacaan IPU baik termasuklah Kota Tinggi (30), Alor Setar (42), Tanah Merah (30), Jerantut (45) dan Ipoh (47).

Sementara lokasi yang mencatatkan bacaan IPU sederhana ialah Muar (53), Sungai Petani (54), Melaka (68), Port Dickson (71) dan Bintulu (52).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai bahaya.

Orang ramai boleh merujuk portal www.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU di kawasan masing-masing.