Sebanyak 11 program di bawah Program Transformasi Industri Teksi (TITP) bakal memberi pelbagai manfaat kepada pemandu dan pengendali teksi termasuk pengguna, kata Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan
Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata program berkenaan diwujudkan untuk memastikan pengurusan perusahaan teksi yang lebih adil dan saksama yang akan memberi banyak faedah kepada pemandu serta pengusaha teksi.

"TITP adalah jalan penyelesaian terbaik kerana ia satu rumusan 'menang-menang' untuk semua pihak. Contohnya di Singapura, perusahaan teksi di sana sangat mudah...semua urusan kebajikan, kereta dan penyelenggaraan kenderaan diuruskan oleh kerajaan.

"Pemandu teksi hanya perlu bayar sewa kereta," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Pengajian Antarabangsa (ICIS) 2016 di sini, malam ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Penasihat Big Blue Capital (M) Sdn Bhd Datuk Shamsubaharin Ismail bahawa TITP tidak menyasarkan untuk membaiki kelemahan dalam industri teksi sekarang.

Baru-baru ini, kerajaan meluluskan 11 program di bawah TITP termasuk mengawal selia aplikasi 'e-hailing' (e-panggilan) dan mewajibkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk pengendali teksi bagi mewujudkan persekitaran industri yang adil bagi pemandu, pengendali dan pengguna industri.

Selain itu, Syed Hamid berkata teknologi memainkan peranan penting dalam zaman ekonomi digital sekarang, maka urusan perkhidmatan teksi menggunakan aplikasi telefon pintar seperti Uber dan Grabcar adalah perkara yang tidak boleh dihalang kerana perkhidmatan sedemikian merupakan atas permintaan orang ramai.

"Pengguna mahu perkhidmatan terbaik dan memiliki nilai tinggi seperti Uber dan Grabcar," katanya yang menjawab dakwaan inisiatif tersebut seolah-olah mencari cara untuk menghalalkan perkhidmatan Uber dan Grabcar di negara ini.

Beliau berkata semua orang perlu menerima perubahan termasuk perubahan teknologi sejajar dengan perkembangan semasa.

Sementara itu, Syed Hamid berkata ICIS 2016 anjuran Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, yang diadakan dua tahun sekali selama dua hari berakhir esok itu, bertujuan memudahkan pertukaran idea mengenai isu kontemporari dalam bidang pengajian antarabangsa.