Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa semua pihak bekerjasama dalam memastikan setiap pelajar di negeri Johor mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti daripada peringkat prasekolah sehingga ke universiti.

Ini termasuk menyediakan kemudahan biasiswa kepada pelajar yang layak.

“Saya percaya setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan dan kita sebagai masyarakat bertanggungjawab untuk mempertahankan hak tersebut.

“Lebih penting lagi, kita juga bertanggungjawab untuk memastikan setiap kanak-kanak tanpa mengira latar belakang mempunyai akses kepada pendidikan yang berkualiti,” titahnya.

Baginda bertitah demikian sempena sambutan Hari Pendidikan Sedunia yang dipetik melalui laman sosial Facebook miliknya, HRH Crown Prince of Johor semalam.

Titah Tunku Ismail, kebajikan guru-guru juga perlu diperhalusi bagi menghargai sumbangan mereka dalam mendidik anak bangsa.

“Anggaplah sistem pendidikan yang berkualiti sebagai satu pelaburan jangka panjang untuk membina bukan sahaja satu masyarakat berdaya saing dan berkemahiran tinggi tetapi sebagai asas untuk membangunkan satu peradaban yang unggul pada masa hadapan,” titahnya.