Peruntukan undang-undang sedia ada membenarkan nombor plat kenderaan istimewa didaftarkan di negara ini.

Kementerian Pengangkutan dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat memaklumkan, selain nombor pendaftaran yang mengikut kawasan pendaftaran, nombor pendaftaran istimewa juga diperkenalkan selaras Kaedah 5A, Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pendaftaran dan Pelesenan) 1959.

"Pemberian nombor pendaftaran istimewa ini adalah berdasarkan kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Menteri," memetik jawapan kementerian tersebut.

Isu tersebut dibangkitkan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang meminta kementerian menyatakan sama ada nombor plat 'TMJ' dan 'RZ' telah didaftarkan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai pendaftaran kenderaan yang sah oleh mana-mana pihak, dan sekiranya tidak, sama ada kenderaan-kenderaan yang mempunyai nombor plat itu dibenarkan di atas jalan raya.

Bagaimanapun, jawapan yang dikemukakan Kementerian Pengangkutan itu tidak secara spesifik menyebut berkenaan nombor plat 'TMJ' dan 'RZ' seperti ditanya Hok Liong.

Jawapan yang turut diberikan ialah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333) telah memperuntukkan kuasa untuk mewujud, menetapkan, menguntuk dan mengenakan bayaran ke atas nombor pendaftaran sesuatu kenderaan kepada Menteri atau Pengarah bagi Pengangkutan Jalan yang dilantik di bawah Seksyen 3 akta tersebut.

"Seksyen 11 APJ 1987 telah menetapkan bahawa semua kenderaan yang telah didaftarkan perlu diuntukkan satu tanda indeks yang disebut sebagai nombor pendaftaran, bagi menunjukkan kawasan kenderaan didaftarkan.

"Pengarah pula boleh menetapkan kadar bayaran bagi nombor pendaftaran yang telah diuntukkan kepada kenderaan tersebut," menurut jawapan Kementerian Pengangkutan.