Sesi Dialog Perdana Transformasi Nasional 2050 (TN50) bagi kluster agama Islam akan diadakan di seluruh negara bagi merangka agenda Islam menjelang 2050, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ini susulan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepadanya yang mahu beliau mengetuai pasukan bagi menjayakan dialog itu, dengan dibantu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalannya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

"Kita panggil semua ulama baharu dan muda kerana kita mahu tahu apa yang harus kita rancangkan, kita lakukan. Apakah bidang-bidang agama yang mahu kita susun atur untuk tempoh 33 tahun akan datang, selepas tahun 2020 apakah bentuknya," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Mahabbah Institusi-institusi Agama Islam sempena Pemukiman Menteri Besar Perak Daerah Bagan Datuk di Masjid Al-Falah, Sungai Nipah Darat, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk turut melancarkan Sistem Pengurusan e-Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain Online (e-Guru KAFA) peringkat negeri dan nasional.

Mengulas lanjut dialog TN50 bagi agama Islam, Ahmad Zahid berkata dialog juga akan melihat sistem pendidikan Islam yang perlu disesuaikan dengan keperluan pasaran kerja.

"Saya beri contoh, dulu apabila maahad tahfiz ditumpu kepada hafal al-Quran, lepas itu bila (pelajarnya) tak ada (kelulusan) SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) nak kerja dengan majlis agama Islam tak boleh.

"Kemudian kita ada ijazah, ke mana nak pergi? Mereka tak ada masa depan mereka mahu jadi imam tapi tanpa skim gaji, mungkin (dibayar) RM700-RM800, mungkin RM1,000 mungkin RM3,000 (sebulan) tetapi kita tidak iktiraf," kata Ahmad Zahid.

Semalam, Perdana Menteri melancarkan TN50 dengan mengadakan dialog perdana di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM) bersama golongan sasar dan belia dari seluruh negara yang memberi imput mengenai aspirasi mereka bagi tempoh 30 tahun akan datang.

-- BERNAMA