Warga Malaysia yang berhijrah ke luar negara boleh menyumbang kepada kemajuan negara, khususnya sebagai ejen rangkaian teknologi serta perniagaan baharu buat Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata beliau yakin golongan profesional yang berhijrah masih sayangkan Malaysia dan pihak kerajaan akan sentiasa berhubung serta bekerjasama dengan mereka untuk memberikan yang terbaik kepada negara.

“Mereka berhijrah atas pelbagai sebab seperti mendapat peluang berbeza, mendirikan rumahtangga dan membina keluarga serta menuntut ilmu di luar negara. Ini bukan bermakna mereka tidak boleh menyumbang kepada Malaysia.

“Jadi kita perlu terus bina dan perkukuhkan rangkaian dengan diaspora rakyat Malaysia di luar negara untuk kebaikan bersama,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) di University College London hari ini.

Khairy yang dalam lawatan kerja ke United Kingdom telah berdialog dengan kira-kira 350 pelajar Malaysia di sekitar England pada hari ini dan mengumpulkan 38 aspirasi mereka menjelang 2050.

Pada Sabtu pula, beliau berkesempatan mengadakan dialog yang serupa bersama kira-kira 200 penuntut Malaysia di sekitar Scotland di The University of Edinburgh dan mengumpulkan 45 aspirasi pelajar di sana.

Ini merupakan kali pertama beliau sebagai Menteri yang bertanggungjawab melaksanakan TN50 mengadakan pertemuan dialog secara bersemuka dengan penuntut Malaysia di luar negara, namun telah beberapa kali melaksanakannya secara atas talian seperti menggunakan teknologi Skype.

Menurutnya, beliau gembira dan berbangga dengan kualiti aspirasi yang telah dinyatakan oleh para penuntut Malaysia yang dilihat amat jelas dengan kemahuan mereka dalam membina negara bangsa yang lebih baik.

“Lawatan ini amat berbaloi kerana kualiti aspirasi mereka amat baik dan tepat seperti mahukan kemajuan yang lestari, penjagaan alam sekitar dan mahu Malaysia muncul sebagai negara maju di samping mengutamakan soal kesopanan dan etika di kalangan rakyat kita.

“Selain itu, mereka juga mengutamakan soal silibus pendidikan yang terkini kerana kira-kira 60 peratus pekerjaan masa hadapan tidak wujud sekarang.

"Jadi mereka mahukan para pelajar di sekolah dilengkapkan dengan pendidikan yang terkini dan dinamik seperti pengaturcaraan,”jelasnya.

Beliau menyifatkan dua sesi dialog itu sebagai berjaya kerana para penuntut Malaysia di sana telah diberikan platform untuk berkongsi aspirasi, seterusnya menyumbang kepada pembentukan dasar-dasar kerajaan menjelang 2050.

Sejak siri dialog TN50 dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Januari lalu, Kementerian Belia dan Sukan kini telah mengumpul lebih 80,000 aspirasi rakyat untuk didokumentasikan.

Mereka kini dalam proses menyiapkan laporan akhir inisiatif tersebut dan akan menyerahkannya kepada Perdana Menteri pada akhir tahun ini.