Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata mereka kini sedang melakukan yang terbaik dalam menyelesaikan isu kenaikan mendadak dalam bil sebahagian pelanggannya secepat mungkin.

"Semua usaha sedang ditumpukan bagi menguruskan isu berkaitan pelanggan kami, berdasarkan kepada laporan atau aduan yang dibuat secara terus kepada kami," kata Ketua Pegawai Retail TNB, Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan kepada Bernama pada Ahad.

"Kami sedang menguruskan kesemua kes dengan hasrat untuk menyelesaikannya secepat mungkin. Pada mereka yang mendapat bill yang terlampau tinggi, sila datang ke Kedai Tenaga atau hubungi pusat Careline kami di talian 1-300-88-5454 supaya kami dapat lakukan pemeriksaan," katanya.

Megat Jalaluddin berkata jika pelanggan hadir ke Kedai Tenaga, pihaknya akan membantu untuk membuat pindaan kepada bill mereka, atau untuk mengkreditkan semula bill mereka, jika didapati ianya merupakan kesilapan TNB.

Beliau mendedahkan, sebahagian pelanggan telah menerima bil prorata disebabkan kelewatan pembacaan meter, disebabkan gangguan ke atas sistem bill ataupun kerosakan komputer.

Sistem mereka telah terganggu antara 15 dan 20 Mei dan telah kembali normal secara berperingkat.

"Walaupun jangka masa bill yang lebih panjang, bill mereka adalah secara pro-rata seadanya dan tidak terlebih caj," kata Megat Jalaluddin.

-- BERNAMA