Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah tanggapan pembentukan Kerajaan Persekutuan melalui pintu belakang atau rampasan kuasa adalah tidak tepat dan perlu segera dihentikan.

Titah baginda, Yang di-Pertuan Agong telah diberi kuasa untuk menggunakan budi bicara seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang.

"Beta sendiri telah mengikuti perkembangan perubahan kuasa tersebut yang telah dilaksanakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan cukup berhati-hati dan selepas perundingan yang teliti dan terbuka diadakan, selaras dengan peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Tohmahan berkaitan pembentukan Kerajaan Persekutuan ini sebagai sebuah kerajaan pintu belakang atau pun satu rampasan kuasa adalah tidak bertepatan sama sekali dan ianya hendaklah segera dihentikan", titah baginda.

BACA: Istana Negara nafi pelantikan PM baharu adalah 'royal coup'

Dalam pada itu, Sultan Selangor turut mahu ahli politik memelihara kestabilan politik dan memberi tumpuan terhadap isu yang lebih bermanfaat khusus buat pentadbiran Negeri Selangor.

"Ahli-ahli politik dilihat sering kali berbalah di dalam isu-isu politik yang tiada berkesudahan sehingga melupakan tanggungjawab sebenar mereka untuk melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat untuk mentadbir negeri bagi faedah kesejahteraan rakyat.

"Rakyat sebenarnya telah penat dan gelisah melihat pergolakan politik yang melanda negara semenjak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu sehinggalah ke hari ini", titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor yang ke-14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor pada Isnin.

Turut berangkat sama, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Majlis istiadat pada sidang pembukaan kali ini dilakukan dengan lebih ringkas termasuk tiada acara perbarisan sebagai langkah mencegah penularan wabak COVID-19.