Polis Perak berjaya membongkar sindiket memproses dadah jenis syabu di dalam sebuah kuil di tepi lebuh raya Ipoh-Lumut, di Jelapang.

Menurut Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, serbuan dilakukan pada Isnin menemui sejumlah empat kilogram syabu dan 11.9 kilogram cecair syabu bernilai RM1.14 juta.

"Ia dipercayai dijadikan pusat memproses dadah untuk edaran sekitar Perak sejak sebulan yang lalu," kata Hasnan dalam sidang media di sini hari ini.

Tambahnya, polis turut memberkas lima suspek berusia antara 19 hingga 46 tahun.

"Kesemua suspek yang ditangkap bekerja sebagai buruh ataupun penganggur, berasal dari negeri Perak dan kesemua mereka mempunyai kesalahan rekod lampau positif dadah," ujarnya.

Menurut beliau, kesemua suspek tiada kaitan dengan kuil berkenaan dan hanya menggunakan tempat itu ketika ia kosong.

Semua suspek direman sehingga 9 Mei dan kes ini disiasat di bawah seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.