Penerima Anugerah Perdana Sambutan Maulidur Rasul 1438H, Mohammed Yusof Abu Bakar, 86, menyifatkan anugerah itu sebagai penghargaan kerajaan terhadap penggiat seni khat negara.

Tokoh penulisan khat yang juga Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan itu berkata beliau juga gembira kerana penggiat seni khat di negara ini semakin bertambah dengan pencapaian yang amat baik di peringkat antarabangsa.

"Kalau dibandingkan dengan zaman saya dulu, saya cukup gembira dan kagum dengan penulis khat Malaysia sekarang.

"Saya juga amat bersyukur apabila kerajaan mengambil berat terhadap perkembangan seni khat ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1438H peringkat kebangsaan di Masjid Putra, di sini hari ini.

Beliau yang berasal dari Bachok, Kelantan mula menceburi bidang penulisan khat pada 1949 ketika belajar di Madrasah Muhammadiah Arabiah, Kelantan serta pernah berkhidmat sebagai guru di Makkah, Arab Saudi dan pensyarah sambilan seni kaligrafi Melayu di Universiti Malaya.

Mohammed Yusof menerima wang tunai RM50,000, sebuah trofi dan sijil penghargaan yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul 1438H peringkat kebangsaan kepada sembilan penerima iaitu bekas Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Putit Matzen; hakim majlis tilawah dan menghafaz Al-Quran peringkat antarabangsa, Datuk Salahuddin Omar; pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Hashim Mehat.

Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia, Datuk Fadilah Baharin; pensyarah sastera Universiti Putra Malaysia, Dr Lim Swee Tin; wartawan Berita Harian, Hasliza Hassan; pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016, Abdul Latif Romly; dan imam masjid di Kedah, Ustaz Mohd Kamal Ismail.

Sementara itu, Abdul Latif berkata anugerah tersebut menjadi pembakar semangatnya untuk terus beraksi cemerlang dalam acara lompat jauh terutamanya menjelang Kejohanan Paralimpik Dunia yang akan disertainya tahun depan.

"Semasa diberitahu saya akan menerima anugerah ini memang saya terkejut dan bersyukur," katanya sambil menambah anugerah itu juga diharap menjadi pembakar semangat untuk golongan kelainan upaya yang lain.

Sambutan kali ini bertemakan "Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah", bertepatan dengan usaha kerajaan menyatupadukan rakyat, bekerjasama serta saling menghormati dan menerima, yang menjadi asas kepada keharmonian sesebuah negara.

Hampir 3,000 peseta daripada 61 kontinjen menyertai sambutan itu yang terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta, badan berkanun, badan beruniform, pertubuhan bukan kerajaan serta pelajar institusi pendidikan tinggi dan sekolah.