Tol motosikal di tiga laluan dimansuhkan manakala kenaikan tol di semua lebuh raya dalam bandar dibekukan pada 2019.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini, mengumumkan kerajaan akan memansuhkan tol motosikal di Jambatan Pertama dan Kedua di Pulau Pinang serta Lebuhraya Laluan Kedua, Johor, mulai 1 Jan 2019 dengan implikasi kewangan kira-kira RM20 juta setahun.

Beliau turut mengumumkan kerajaan akan membekukan kenaikan tol di semua lebuh raya dalam bandar pada 2019 yang melibatkan implikasi kewangan kira-kira RM700 juta.

Dalam pembentangannya yang turut menyentuh mengenai pengangkutan awam, Lim berkata kerajaan memperuntukkan RM240 juta untuk memperkenalkan pas bulanan RM100 tanpa had perjalanan yang meliputi perkhidmatan rel dan RapidKL mulai 1 Januari tahun depan (2019).

Selain itu, beliau berkata pas bulanan RM50 tanpa had perjalanan bagi bas RapidKL sahaja juga disediakan.

Lim berkata kempen berkenaan akan diperluaskan bagi meliputi syarikat bas lain secara berperingkat.

"Skim ini akan meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah sebanyak beberapa ratus ringgit sebulan," katanya.


Lim berkata Prasarana Bhd, anak syarikat pengangkutan awam milik penuh kerajaan, akan memperbaiki jaringan perkhidmatan basnya dengan menggunakan sepenuhnya aset terkini merangkumi 1,131 bas RapidKL, 408 RapidPenang, 69 RapidKuantan dan 300 bas perantara MRT.

"Prasarana juga akan melaksanakan model usahasama dengan syarikat bas swasta lain untuk menguruskan laluan dan perkhidmatan serta mengawal kos bagi memaksimumkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan," katanya.

Bagi menambah baik liputan pengangkutan awam di Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan memperuntukkan RM20 juta bagi menyediakan perkhidmatan tambahan bas GoKL secara percuma selain daripada empat laluan sedia ada, katanya.

Lim juga berkata kerajaan melalui Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) akan menyediakan Tabung Pengangkutan Awam dengan dana RM500 juta yang menawarkan insentif subsidi kadar faedah sebanyak dua peratus kepada teksi dan syarikat bas serta pengendali perkhidmatan awam.

Beliau juga berkata kerajaan akan memberi peruntukan RM10 juta sebagai permulaan untuk menaik taraf Sistem Pelepasan Automatik Malaysia dan Motosikal Rakyat Malaysia (M-Bike) di Laluan Tambak Johor dan Laluan Kedua ke Singapura.

Menyentuh mengenai aktiviti logistik dan pengangkutan, Lim berkata kerajaan akan memperuntukkan RM2.46 bilion bagi kerja menaik taraf dan memulihara landasan kereta api untuk mempertingkatkan insfrastruktur pengangkutan negara.

Bagi pelaksanaan peringkat awal projek Zon Sempadan Khas Ekonomi Kota Perdana di Bukit Kayu Hitam, Kedah sebagai pintu gerbang strategik bagi aktiviti perdagangan dua hala antara Malaysia dan Thailand, ia merangkumi pembangunan 'truck depot' dengan peruntukan RM25 juta, katanya.

Lim berkata kerajaan bercadang untuk menjadikan tanah seluas 380 ekar di Pulau Indah sebagai zon perdagangan bebas untuk menyokong dan memangkin aktiviti perkapalan dan logistik di Pelabuhan Klang.

Beliau berkata zon bebas baharu itu akan menjadi sambungan kepada Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

"Tanah ini akan dimajukan melalui kaedah penswastaan atau usahasama dengan sektor swasta," katanya.

-- BERNAMA