Keengganan Ketua Menteri Lim Guan Eng berdebat mengenai isu terowong dasar laut dengan pelbagai alasan hanya helah semata-mata, kata Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Malah, katanya, beliau diperlekehkan kerana tidak layak untuk berdebat dengannya atas kapasiti Timbalan Presiden MCA sedangkan perkara ini bukan mengenai dasar sesebuah parti dan sebagai wakil rakyat, menteri dan jurutera, beliau mahu Lim menjawab kemusykilan itu.

"Saya sudah ajak ketua menteri berdebat banyak kali, jika tidak berdebat pun sekurang-kurangnya perbincangan secara aman untuk bertukar fikiran dan tunjukkan kepada saya apa yang dilemparkan itu tidak benar," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Ceramah Kisah Benar Pulau Pinang 2.0 di Dewan Persatuan Tan Si Eng Chuan Tong di sini malam tadi.

Lim, sebelum ini menolak cabaran Wee untuk berdebat mengenai isu tersebut atas alasan tidak mahu merendahkan martabat jawatan Setiausaha Agung DAP yang disandangnya sejak 2005 dengan menerima cabaran yang dikemukakan oleh Wee, iaitu pemimpin nombor dua dalam parti berkenaan.

Semalam, ketua menteri itu memberikan syarat Wee perlu bertanding di kerusi Parlimen Bagan menentangnya jika mahu berdebat dengannya berhubung isu terowong dasar laut.

Wee yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata beliau hanya mahukan jawapan daripada ketua menteri itu apabila sesuatu perkara telah dibongkarkan dan jawapan perlu diberikan dan tidak berbangkit soal taraf seseorang.

Alasan itu tidak masuk akal, lagi pun sebelum ini Lim juga pernah berkali-kali pada 2011 mencabar Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang juga anggota Parlimen di Pulau Pinang dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu untuk berdebat, dan jika kita bandingkan jawatan saya dengan Tan Sri Nor, saya rasa tidak rendah jawatan saya," katanya.

Wee turut mempersolkan tindakan ketua menteri itu yang mengaitkan soal hierarki untuk melayakkan seseorang boleh berdebat dengannya sambil meminta Lim menjelaskan laporan akhbar Oriental Daily berhubung lapan syarikat yang dipelawa untuk pusingan pertama iaitu tentang pra kelayakan sebelum memberikan kontrak ini kepada sesiapa .

Kalau ikut senarai lapan syarikat ini, Zenith Construction atau Consortium Zenith BUCG tidak ada dalam pusingan pertama dan tba-tiba pusingan kedua pula masuk, jadi ini adalah pertanyaan daripada rakyat, jangan kata protokol, tak boleh jawablah, itu semata-mana sebagai tipu helah. Ia helah supaya tidak menjawab soalan," katanya.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai telah mencetuskan pelbagai kontroversi termasuk berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Projek itu sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana didakwa melibatkan kos kajian kebolehlaksanaan yang tinggi dan kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri.

-- BERNAMA