Sikap taasub terhadap parti politik yang dilihat mengikis nilai-nilai murni harus ditolak dalam memelihara perpaduan, sekali gus mengekalkan keamanan dan mempertahankan kemerdekaan dikecapi sejak 63 tahun lepas.

Kelantangan masyarakat menghina pemimpin-pemimpin negara secara berleluasa terutama di media sosial, bukan suatu isu yang boleh diambil ringan, malah ia sebagai isyarat sesuatu harus dilakukan segera.

Timbalan Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia Fahami Ashrof Badaruddin berkata semangat perpaduan yang semakin luntur akibat obsesi generasi muda terhadap parti politik harus dihentikan dengan kerajaan dan masyarakat harus berganding bahu menangkis budaya itu.

"Sempena merdeka kali ini apa yang kita ingin lihat ialah semangat perpaduan di dalam negara kembali dipupuk kerana hari ini kita melihat nilai-nilai murni sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum terhakis disebabkan taasub kepada parti politik.

"Ini perkara yang sangat serius dan kerajaan perlu ambil berat demi memastikan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia kembali dipupuk," katanya kepada Bernama sempena pelancaran Bulan Kebangsaan baru-baru ini.

Beliau berkata dalam memupuk semangat perpaduan dalam kalangan belia, setiap kementerian dapat memainkan peranan masing-masing, dan bukan hanya digalas oleh Kementerian Belia dan Sukan semata-mata.

"Kementerian lain juga boleh anjur program dalam mendekati belia dan boleh bekerjasama dengan pertubuhan belia dalam negara untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan golongan belia," jelas Fahami Ashrof.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Johar berkata setiap anak muda harus mempunyai semangat patriotik yang tinggi supaya dapat menyumbang kepada pembangunan belia dan tanah air.

Jelasnya, peranan belia penting untuk berganding bahu bersama kerajaan mempertahankan kemerdekaan dengan melakukan aktiviti membina negara seperti kerja kesukarelawanan dan kesedaran sivik.

Katanya penggunaan teknologi kini dapat digunakan secara optimum dalam usaha semua pihak menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam suasana norma baharu ini.

Bagi Setiausaha Agung Majlis Belia Hindu Malaysia B. Ravichandran, golongan muda dapat dilatih menjadi 'tentera siber' untuk menangkis sebarang perkara yang dapat menggugat perpaduan negara terutama di media sosial.

"Hari ini media sosial merupakan arus perdana yang banyak digunakan golongan muda, maka ruang ini harus digunakan sebaiknya untuk memelihara perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini," kata pemenang Anugerah Perdana Belia Kategori Individu Lelaki Tahun 2019.

Katanya suntikan semangat kemerdekaan perlu diberikan setiap masa supaya ia terus subur dalam setiap anak muda sepanjang masa dan bukannya bermusim.

-- BERNAMA