"Tolong jangan halang pelancong ke lokasi tumpuan, ini tidak bagus" - Mohamadin Ketapi

Irwan Muhammad Zain
Januari 28, 2020 11:24 MYT
Menurut Mohamadin, lokasi tumpuan pelancong perlu terus dibuka biarpun terdapat kebimbangan terhadap penularan wabak koronavirus. - Gambar Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan akan menghantar surat kepada pihak pengurusan beberapa lokasi tumpuan agar tidak melarang pelancong berkunjung ke premis mereka.
Menterinya, Datuk Mohamadin Ketapi berkata, lokasi tumpuan pelancong perlu terus dibuka biarpun terdapat kebimbangan terhadap penularan virus koronavirus.
Menurut beliau, sekatan kepada pelancong yang masuk negara ini tidak seharusnya dikenakan kerana mereka telah disahkan sihat.
"Tolong jangan halang pelancong untuk melawat tempat yang perlu dan yang nak dilawati oleh pelancong-pelancong ini.
"Ini tak bagus, ini salah sama sekali. Kita nak halang orang melawat dalam negara kita, apa semua ini?" katanya dalam sidang media selepas mesyuarat dan taklimat berkenaan kes koronavirus di negara ini bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Mohamadin berkata demikian sebagai mengulas laporan mengenai keputusan pentadbiran Masjid Putra di Putrajaya dan Masjid Wilayah Persekutuan yang ditutup untuk lawatan bagi pengunjung bukan beragama Islam.
Keputusan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap penularan wabak koronavirus dan penutupan itu berkuat kuasa sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.
“Mereka sudahpun berada dalam negara dan kita sudah periksa, mereka sihat.
“Orang yang sihat tak sebarkan penyakit. Tak perlu langkah berjaga-jaga (di lokasi pelancong),” katanya lagi.
#2019-nCoV #China #Kementerian Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan #Mohamadin Ketapi #MOTAC #Novel Coronavirus 2019 #pelancong #pelancongan