Letupan tong gas memasak dipercayai punca kebakaran yang berlaku di sebuah perkampungan atas air di Pulau Gaya dekat sini tengah hari Khamis.

Pengerusi Komuniti 1Malaysia Pulau Gaya Kansi Abdullah, yang berada di rumahnya ketika kejadian, berkata beliau terdengar lima bunyi letupan.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendy K. Ramin berkata 20 hingga 30 rumah membabitkan kawasan seluas seekar di Kampung Pondo, Pulau Gaya musnah dalam kebakaran berkenaan.

"Panggilan kecemasan diterima pada pukul 12.48 tengah hari dan sepasukan bomba dan penyelamat bergegas ke tempat kejadian seminit kemudian.

"Pasukan bomba dan penyelamat menaiki bot polis marin dan tiba di tempat kejadian pada pukul 1.24 tengah hari," katanya.

Beliau berkata api berjaya dipadam sepenuhnya pada 2.05 petang dan tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan. -- Bernama