Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil langkah proaktif dengan menayangkan video pendek anti rasuah di 54 panggung wayang milik Lotus Five Star (LFS) seluruh negara bermula Ahad.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, inisiatif yang julung kali dilaksanakan itu ialah bagi menyampaikan mesej anti rasuah secara lebih berkesan kepada masyarakat.

Menurut Azam, video anti rasuah berdurasi 42 saat itu disiarkan di semua rangkaian pawagam LFS di 14 lokasi di seluruh negara sebelum tayangan sesebuah filem.

"Pada pandangan saya, akan lebih berkesan dengan menggunakan panggung LSF ini di mana penonton-penonton sebelum melihat kepada wayang atau cerita sebenar, dia melihat mesej anti rasuah.

"Dengan cara begini, akan lebih menarik minat masyarakat untuk mengetahui (lebih). Dan juga, mesej anti rasuah itu sedikit sebanyak akan sampai kepada masyarakat," kata Azam.

Beliau berkata, penyiaran video pendek di dalam pawagam sebagai medium menyebar luas mesej anti rasuah dilakukan selepas kajian mendapati masyarakat masa kini lebih gemar menonton dan mendapatkan maklumat menerusi visual yang ringkas.

BACA: SPRM tidak tolak panggil Hadi bantu siasatan cek RM1.4 juta

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini pihaknya masih belum menetapkan berapa lama tempoh tayangan tersebut.

Namun, mesej yang dipaparkan akan sentiasa diperbaharui dari semasa ke semasa, tambah Azam.

Dalam masa sama, pihaknya juga mencadangkan agar tayangan seumpama itu diperluaskan ke pawagam lain di negara ini.