Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadiri Forum Perdana Hal Ehwal Islam yang diadakan di Dataran Bagan Datuk di sini, malam tadi.

Turut hadir pada forum yang dihadiri kira-kira 2,000 hadirin itu ialah isteri Ahmad Zahid, Datin Seri Hamidah Khamis dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Perak Datuk Shahrul Zaman Yahya .

Program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) itu turut disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1, Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Kalangan penduduk setempat mulai hadir ke dataran itu untuk mengikuti forum perdana berkenaan seawal 8 malam.

Sebelum forum itu bersiaran secara langsung pada 9 malam, Ahmad Zahid dalam ucapannya memuji inisiatif RTM mengendalikan program ilmu agama itu yang paling lama bersiaran dan mempunyai dua juta penonton setiap kali penyiarannya pada setiap minggu.

"Program ini yang paling lama penyiarannya mendapat sokongan kira-kira dua juta penonton dan usaha (penganjuran program) murni ini menjadi satu ibadah kepada ummah di negara ini dalam penghayatan terhadap Islam.

"Majlis ilmu ini perlu mendapat dukungan daripada semua pihak dan kerajaan Persekutuan mengucapkan tahniah kepada RTM kerana melakukan usaha-usaha dakwah menerusi program ini," kata Ahmad Zahid.

Program bertajuk 'Wasiat Sidratul Muntaha' itu dikendali Ustaz Zakaria Othman selaku moderator dan ahli panelnya terdiri daripada penceramah agama terkenal Datuk Kazim Elias dan Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

-- BERNAMA