Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan orang bukan Islam supaya tidak mencampuri urusan Islam, apatah lagi mengajar cara untuk memperkukuh agama Islam.

Beliau menegaskan, mereka khususnya dan semua pihak secara amnya perlu menghormati Perkara Tiga Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi.

“Saya tidak menyentuh apa-apa juga perundangan tetapi secara umumnya begitu.

“Sebuah negara harmoni dengan kepelbagaian agama kita hormati, dan tolong hormat agama kami sekiranya kamu mahu agama kamu dihormati,” katanya.

Mengambil contoh wudhu, umat Islam tidak sepatutnya bertanya soal itu kepada bukan Islam kerana mereka tidak layak, jauh sekali untuk mereka menunjukkan cara berwudhu dengan betul.

“Setakat mana kita perlu ambil wudhu, adakah perlu tanya orang yang bukan satu akidah dengan kita? Apatah lagi jika pertikaikan bagaimana kita rukuk atau sujud.

“Bukan hak mereka untuk tahu dan tidak perlu ada kepedulian kerana itu adalah ibadat kita, itu hak kita umat Islam untuk tentukan bagaimana tahap ibadat kita kerana kita menjaga agama Allah supaya Allah menjaga kita, itu pegangan kita,” jelasnya.

Beliau mengingatkan pihak berkenaan yang menentang usaha pemerkasaan Islam supaya tidak alpa dengan segala nikmat kemajuan, keunggulan pencapaian akademik serta pelbagai lagi, dan bersyukur dengan cara berterima kasih kepada pihak yang memberi kenikmatan itu.

“Apabila kita lupa nikmat dan kita tidak berterima kasih kepada orang yang memberi, kita tidak bersyukur kepada Allah.

“Siapakah yang memberi? Kepimpinan, orang-orang yang memimpin sesebuah kementerian, jabatan atau agensi. Berterima kasih kerana Allah buka hati mereka untuk memberi nikmat itu dan kita harus berterima kasih kepada mereka untuk kita bersyukur kepada Allah,” ujarnya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Konvensyen Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab 2017 di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mengumumkan penambahan lima lagi MRSM, menjadikan jumlah keseluruhannya sembilan.

Katanya, ia bagi melahirkan lebih ramai huffaz (penghafal al-Quran) dengan sasaran mahu melahirkan sehingga 125,000 huffaz menjelang 2050.

Program Ulul Albab telah diwujudkan di empat MRSM, bermula di MRSM Kota Putra di Terengganu pada 2009; MRSM Gemencheh, Negeri Sembilan (2010); MRSM Kepala Batas, Pulau Pinang (2011) dan terbaru di MRSM Sungai Besar di Selangor.